Sunday, March 27, 2011

UNSUR-UNSUR SENI, ELEMEN DAN PRINSIP REKAAN


UNSUR-UNSUR SENI

Unsur-unsur seni reka terdiri daripada enam elemen asas yang penting dalam penggubahan sesuatu karya seni visual iaitu:

A.   Garisan

Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual.



B.   Rupa

Rupa ialah hasil pertemuan hujung garisan dengan permulaannya. Aplikasi melalui rupa garisan, warna dan jalinan. Mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Ia merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya.




C.   Bentuk

Bentuk ialah lanjutan daripada pemahaman rupa. Bentuk mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan biasanya bentuk mempunyai lebih daripada satu permukaan. Bentuk mempunyai struktur dalaman. Gabungan daripada rupa dapat menghasilkan bentuk. Bentuk terbahagi kepada bentuk dua dimensi, tiga dimensi dan pelbagai dimensi.




D.   Jalinan

Jalinan ialah sifat permukaan yang terdapat pada sesuatu objek dan boleh dikesan secara penglihatan (tampak) atau sentuhan. Jalinan pada permukaan objek alam sekeliling dan objek buatan manusia mempunyai kesan tampak yang berbeza. Tuhan menjadikan setiap objek alam dengan jalinan tertentu untuk manusia memikirkannya. Setiap jalinan mempunyai fungsi dan nilainya tersendiri. Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan.




E.   Ruang

Ruang ialah jarak di antara objek yang wujud di dalam alam nyata dan juga dalam karya seni visual. Objek yang berada di hadapan lebih jelas dan lebih besar berbanding dengan objek sama saiz yang berada di bahagian belakang. Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek. Manakala dalam karya seni visual, ruang diwujudkan melalui kekuatan gubahan warna, jalinan, rupa dan bentuk.




F.   Warna

Warna pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.






ELEMEN DAN PRINSIP REKAAN


Prinsip rekaan adalah kaedah atau pengolahan unsur seni untuk menimbulkan gambaran tertentu dalam gubahan seni visual.Prinsip rekaan terbahagi kepada tujuh iaitu:

A.   Harmoni

Prinsip rekaan dalam karya seni tampak seperti unsur-unsur harmoni boleh diwujudkan dalam karya lukisan yang bertemakan alam semula jadi. Harmoni dalam konteks seni visual dapat ditonjolkan apabila wujudnya susunan ataupun ulangan unsur-unsur seni yang sesuai, seimbang dan menarik. Sebagai contohnya, keseragaman bentuk serta kepelbagaian saiz yang terdapat pada bahagian tubuh serta sayap seekor rama-rama akan menimbulkan kesan yang lebih harmoni, menarik serta seimbang. Penggunaan unsur-unsur harmoni dalam sesuatu hasil karya adalah bertujuan untuk menarik perhatian serta dapat menimbulkan nilai-nilai estetika.

Harmoni pada karya alam semula jadi:


Warna-warna pada daun yang seakan menampakkan persamaan dan warna boleh mewujudkan ton.Contohnya daun muda adalah lebih cerah berbanding dengan warna yang terbentuk pada daun-daun yang lebih tua.Melalui contoh lukisan di atas, penggunaan ton semasa mewarna daun akan dapat menimbulkan kesan keselesaan, keseragaman serta kesatuan pada objek yang dihasilkan.

B.   Kontra

Dalam prinsip rekaan seperti kontra, ianya mudah dikesan serta diwujudkan apabila salah satu daripada unsur-unsur seni (contohnya warna) mempunyai ciri-ciri yang menunjukkan pertentangan antara satu sama lain untuk memberikan kesan yang menarik pada sesuatu karya yang telah dihasilkan.Dalam erti kata lain, kontra adalah berkait rapat dengan prinsip rekaan seperti penegasan, iaitu lebih tinggi kadar kontra, maka lebih menyerlah penegasan dalam sesuatu karya seni yang dihasilkan. Kontra boleh wujud melalui perbezaan saiz, warna, bentuk, rupa, jalinan dan garisan.


Contoh karya di atas adalah merupakan cara penggunaan kontra dalam karya Catan. Kontra digunakan dengan tujuan untuk mewujudkan kesan pertentangan serta membangkitkan suasana. Oleh yang demikian, penggunaan unsur kontra dalam sesuatu karya secara kurang terancang akan menghasilkan suasana bercelaru serta nilai-nilai estetik yang kurang menyerlah.


C.   Penegasan

Mengetahui Unsur Penegasan dalam Objek Alam Semula jadi.

Salah satu aspek terpenting dalam prinsip-prinsip rekaan seni adalah aspek penegasan. Penegasan dalam konteks Pendidikan Seni Visual adalah merupakan sesuatu yang boleh memberi tumpuan kepada pemerhatian tampak. Penegasan pada sesuatu objek pada alam semula jadi dapat berfungsi dengan sepenuhnya sekiranya objek tersebut dapat menarik perhatian seseorang apabila melihat atau memerhati objek tersebut. Penegasan sememangnya dapat menonjolkan sesuatu unsur atau objek dalam sesuatu hasil karya yang dapat menarik perhatian.

Melalui gambar foto yang disertakan di atas, jelas kelihatan bahawa unsur dan objek yang dapat memberi gambaran sebenar tentang prinsip penegasan melalui penghasilan warna garang ( warna merah ) yang terdapat pada objek bunga tumbuhan tersebut. Bunga yang sedia ada mempunyai warna yang kontra jika dibandingkan dengan daun, dan ini menunjukkan wujudnya unsur penegasan.Oleh yang demikian, dalam sesuatu hasil karya yang baik, penggunaan warna yang betul serta sesuai dapat memberi unsur penegasan terhadap objek yang dihasilkan di samping kedudukan objek yang diletakkan pada bahagian hadapan.

Seseorang pengkarya yang baik, langkah utama yang beliau harus fikirkan adalah memastikan adanya penggunaan prinsip-prinsip rekaan dalam sesuatu karya yang dihasilkan bukan sahaja prinsip penegasan, malah melibatkan prinsip-prinsip rekaan yang lain seperti keseimbangan, kontra, kepelbagaian dan sebagainya kerana aspek-aspek tersebut secara tidak langsung dapat membantu dalam penghasilan kerja seni yang baik serta bermutu.

D.   Imbangan

Imbangan juga merupakan prinsip rekaan. Imbangan bermaksud kesamaan dan kesepadanan dari segi berat, tarikan dan tumpuan.imbangan boleh dibahagikan kepada dua iaitu imbangan simetri dan imbangan tidak simetri. Imbangan simetri ialah unsur seni yang sama antara kiri dan kanan atau atas dan bawah (garisan ‘axis’ dilukis di tengah-tengah pembahagian tersebut). Imbangan tidak simetri ialah unsur seni tidak sama di kedua-dua bahagian tetapi mempunyai ciri-ciri yang menimbulkan kesan keseimbangan.Contoh prisip rekaan imbangan dapat dirujuk dibawah.



E.   Irama dan pergerakan

Irama dan Pergerakan juga merupakan prinsip rekaan. Irama dan pergerakan berfungsi untuk memberi kesan lebih hidup dan realistik terhadap sesuatu gubahan. Pergerakan ialah keadaan yang bergetar, bergoyang, berayun, berpancar, bersinar-sinar dan sebagainya. Pergerakan dapat dilihat melalui kesan angin, air, ombak, taufan dan sebagainya. Ia dapat dijelaskan dengan gambar rajah dibawah.



F.   Kepelbagaian

Unsur kepelbagaian juga merupakan prinsip rekaan. Kepelbagaian wujud hasil penggunaan pelbagai gaya, nilai, dan idea yang berbeza dalam sesuatu gubahan. Kepelbagaian juga dapat memberi gaya, variasi, tenaga, dan daya tarikan dalam sesuatu gubahan. Kepelbagaian dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni seperti garisan, rupa dan warna yang pelbagai dalam sesuatu gubahan.



G.   Kesatuan

Seterusnya ialah kesatuan. Prinsip rekaan kesatuan bermaksud satu tema atau satu idea bagi semua unsur dalam sesuatu gubahan. Kesatuan dapat menimbulkan suasana yang tenteram, teratur dan selesa.



Rujukan:

Elemen dan Prinsip Rekaan. Diperolehi pada Mac 10,2011 daripada http://notaanimasi.blogspot.com/2011/01/elemen-dan-prinsip-rekaan.html

Prinsip-Prinsip Rekaan. Diperolehi pada Mac 10, 2011 daripada
http://rozelleeotakbutan.blogspot.com/p/iprinsip-rekaan-penegasan.html

Unsur-unsur seni. Diperolehi pada Mac 10, 2011 daripada
http://colourexist.blogspot.com/2010/01/unsur-unsur-seni.html

8 comments:

Unknown said...

terima kasih ats perkongsian....

Unknown said...

Terima kasih atas perkongsian ini.Saya nok tnya bleh ke tidak saya copy paste?Saya ingin membuat skrap saya dengan menggunakan blog ini kerana blog ini sngat menarik.

oxford chill said...

Terima kasih atas perkongsian ini.

oxford chill said...

Terima kasih atas perkongsian ini.

Unknown said...

Hello...titik tumpu itu apa?

Unknown said...

Perkongsian yang baik.

Unknown said...

Magsukul

Unknown said...

perkonsian yang sangat baik

Post a Comment