Pages

Saturday, April 9, 2011

INTEGRASI


Dari pandangan psikologi, integrasi bermaksud individu itu adalah insan menyeluruh dan segala unsur perkembangan pelajar yang mengandungi aspek-aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial sentiasa berkait rapat dan saling bergantung antara satu sama lain. Dari aspek sosiologi pula, ia melibatkan perhubungan antara personaliti dengan personality seperti antara seseorang pelajar dengan seseorang pelajar, dan antara pelajar dengan guru. Dalam pedagogi, integrasi bermaksud kaedah dan teknik mengajar yang meliputi pelbagai isi pelajaran dan kemahiran melalui unit pembelajaran dan bidang pelajaran yang khusus untuk tujuan membantu dalam pendekatan menyelesaikan masalah sebagai satu cara belajar.
           
Terdapat pelbagai jenis integrasi iaitu:

a)         Penggabungjalinan - proses mengintegrasikan pelbagai bidang kemahiran bagi mewujudkan suatu pelajaran yang integratif dan menyeluruh. Jenis-jenis Penggabungjalinan seperti berikut:
i.          Penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran
ii.          Penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain ke dalam
            sesuatu mata pelajaran
iii.         Penggabungjalinan kemahiran secara merentas kurikulum

(b)        Penyerapan - proses menyebati dan menyatupadukan pengetahuan atau unsur isi pengetahuan daripada suatu mata pelajaran lain ke dalam isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Ciri-ciri Penyerapan:
i.      Ia mengandungi beberapa unsur ilmu pengetahuan daripada berbagai
bagai pelajaran.
ii.     Unsur-unsur ilmu pengetahuan ini diserapkan secara bersepadu dalam satu
mata pelajaran
iii.   Bilangan mata pelajaran yang digunakan dalam proses penyerapan adalah
fleksibel.
iv.    Organisasi unsur-unsur isi kandungan bergantung kepada unsur utama dan
unsur sampingan. Walau bagaimanapun, unsur utama tetap diberi penekanan
yang lebih

Proses penyerapan berlaku secara serentak dengan proses penggabungjalinan. Unsur-unsur isi kandungan boleh diserapkan ke dalam aktiviti penggabungjalinan berbagai-bagai kemahiran seperti membaca, menulis dan mengira.

(c)        Penerapan  - satu proses menerapkan nilai-nilai dalam pelaksanaan kurikulum dan
gerak kerja kokurikulum. Nilai-nilai yang dimaksudkan ialah nilai-nilai murni,    nilai kewarganegaraan, nilai kemasyarakatan, nilai alam sekitar, nilai kemanusiaan, ketuhanan dan sebagainya.
i.          Pendekatan implisit – penerapan secara tidak langsung. Contohnya, guru berpakaian kemas, jujur, amanah, tepat masa dan sebagainya.
ii.          Pendekatan eksplisit - mengadakan suatu peraturan , arahan, pekeliling dan sebagainya yang bertulis tentang sesuatu perkara yang diharapkan dan yang tidak diharapkan.
(d)        Pemulihan - untuk membantu pelajar yang mengalami masalah pembelajaran yang tertentu khususnya dalam kemahiran asas 3M.
(e)        Pengayaan – aktiviti untuk pelajar yang pencapaiannya melebihi sederhana atau pintar cerdas.
i.    Berbentuk Pengukuhan
ii.   Berbentuk Perkembangan – lebih kompleks
iii.  Pendekatan Integrasi - Adaptasi ke dalam kurikulum yang ada (Pengajian
      Am + Sejarah atau Bahasa Melayu).

Kelebihan Integrasi

a)         Mempunyai kepelbagaian dan keseragaman aktiviti dalam bentuk unit-unit kerja.
b)         Mempunyai ruang untuk menampung kepelbagaian akitiviti seni dalam
            pendidikan.
c)         Mempunyai ruang untuk menampung skop perpaduan yang luas.

Intergrasi Seni Visual, Muzik dan Pergerakan

(a)        Aspek Psikologi - akan memberi kesan kepada minda dan tubuh pelajar.
(b)        Aspek Sosiologi:
i.   Integrasi antara personaliti
ii.  Integrasi antara individu dengan agensi-agensi masyarakat
iii. Integrasi di kalangan pelbagai institusi masyarakat.
(c)        Aspek Pedagogi:
i.   Berkait dengan prosedur mengajar – mengembang konsep dan pemahaman
     terhadap unit-unit.
ii. Melibatkan perhubungan antara dua atau lebih bidang pelajaran:

Integrasi Seni Visual, Muzik dan Pergerakan dengan Mata Pelajaran Pengajian Malaysia
 
Integrasi seni visual, muzik dan pergerakan boleh dilakukan dalam Pengajian Am dengan menunjukkan gambar-gambar serta lagu patriotik dalam topik Kenegaraan serta Dasar-Dasar Kerajaan. Selain itu, teknik simulasi dan lakonan juga boleh dilakukan dalam topik yang berkaitan.


Rujukan : Seni dan Pendidikan (Integrasi). Diperolehi pada  April 7, 2011 daripada http://atelynn-simplebutsmart.blogspot.com/2009/05/seni-dalam-pendidikan-integrasi.html.

Thursday, April 7, 2011

PENDEKATAN, STRATEGI, KAEDAH DAN TEKNIK



KAEDAH DAN TEKNIK
  
Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain. Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran adalah seperti bercerita, perbincangan, bermain, latih tubi, main peranan, menyelesaikan masalah, brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan, projek, soalan atau Socratik dan lain-lain lagi.

Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil. Misalnya katakanlah seorang ingin menggunakan kaedah bercerita untuk mengajar sesuatu tajuk pelajaran. Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan nada suara, penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat murid, gerrakan tangan "facial expression", serta kedudukan murid-murid semasa aktiviti bercerita itu berlangsung.

Kaedah mengajar seperti syarahan juga mempunyai teknik-teknik yang tersendiri. Teknik-teknik syarahan adalah seperti mempelbagaikan nada serta kadar percakapan, bahasa yang sesuai, penggunaan OHP, garis kasar kuliah yang disampaikan, menyoal soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajar dan lain-lain lagi. Satu lagi contoh kaedah mengajar ialah kaedah soalan. Jika kita ingin mengajar dengan kaedah soalan maka kita pelu menggunakan teknik-teknik menyoal yang baik seperti soalan-soalan yang ditanya haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar diberi masa untuk memikirkan jawapan soalan sebelum sesiapa dipanggil untuk menjawab, layanan yang munasabah bagi semua tindak balas daripada murid, suara haruslah jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang ditanya dan sebagainya.

Jadi jika kita hendak mengajar seseorang berenang kita haruslah memilih kaedah-kaedah yang sesuai. Kaedah seperti perbincangan serta syarahan sudah tertentu tidak berkesan. Kaedah pengajaran seperti demostrasi adalah lebih sesuai. Meskipun demikian, untuk memastikan bahawa demostrasi itu berjaya kita mesti menguasai teknik-teknik demostrasi.

PENDEKATAN

           Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran. Dalam pengertian yang lebih luas pendekatan juga diertikan sebagi "to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu. Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan wujud berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi perhatian yang lebih utama. Sebab itu ada kalanya pendekatan meyerupai klasifikasi pengajaran yang mana jenis-jenis pendekatan wujud berdasarkan kriteria-kriteria yang kita gunakan untuk meneliti proses pengajaran.

Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan murid, cara-cara fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain. Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak menyentuh tentang kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru adalah bebas memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut.

Berdasarkan kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi mudah ke isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak. Pendekatan yang memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan memusatkan guru manakala pengajaran yang mementingkan murid disebut sebagai pendekatan memusatkan murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan yang memusatkan guru adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi manakala kaedah-kaedah pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran yang memusatkan murid adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah bermain dan kaedah perbincangan kumpulan.

Terdapat juga pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk mengajar beberapa mata pelajaran mengikut tema-tema pelajaran. Contohnya pengajaran dalam Alam dan Manusia menggunakan perdekatan interdisiplin atau pendekatan bersepadu. Ini adalah kerana beberapa mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Kesihatan digabungkan menjadi suatu mata pelajaran yang baru. Pendekatan ini adalah sama dengan pengajaran Sains Panduan di mana Biologi, Fizik serta Kimia digabungkan dan diajar mengikut tema-tema tertentu.

           Akhirnya dalam pengajaran bahasa terdapat pendekatan-pendekatan seperti pendekatan komunikasi, pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul berasaskan teori-teori pembelajaran yang berbentuk mentalis atau behavouris. Contohnya jika kita mengikut teori mentalis atau kognitif maka pendekatan yang digunakan adlah seperti pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Bagi teori behavouris atau S-R maka pendekatan pengajaran yang digunakan adalah pendekatan komunikasi dan situasi.


STRATEGI

          Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum. Untuk mencapai objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya menggunakan gabungan beberapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu. Rancangan gabungan pendekatan dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan merupakan strategi pengajaran.

Sebagai contoh, untuk mengajar sebuah kelas berenang, strategi pengajaran harus mempertimbangkan pendekatan yang digunakan serta kaedah-kaedah yang perlu digunakan. Adakah kita gunakan pendekatan individu atau pendekatan kumpulan kecil? Bila kita menerangkan cara-cara berenang kepada pelajar patutkah kita gunakan pendekatan induktif atau pendekatan deduktif? Di samping itu, apakah kaedah pengajaran yang boleh kita gunakan. Antara kaedah syarahan, kaedah demostrasi dan kaedah latih tubi yang manakah kita gunakan terlebih dahulu? Bagaimanakah kombinasinya? Ringkasnya rancangan yang lengkap yang mengandungi pendekatan dan kaedah adalah strategi mengajar yang dimaksudkan.

Rujukan:

Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik. Diperoleh pada  Mac 27, 2011 daripada http://www.teachersrock.net/pdkt.htm.

Sunday, March 27, 2011

UNSUR-UNSUR SENI, ELEMEN DAN PRINSIP REKAAN


UNSUR-UNSUR SENI

Unsur-unsur seni reka terdiri daripada enam elemen asas yang penting dalam penggubahan sesuatu karya seni visual iaitu:

A.   Garisan

Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual.



B.   Rupa

Rupa ialah hasil pertemuan hujung garisan dengan permulaannya. Aplikasi melalui rupa garisan, warna dan jalinan. Mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Ia merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya.




C.   Bentuk

Bentuk ialah lanjutan daripada pemahaman rupa. Bentuk mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan biasanya bentuk mempunyai lebih daripada satu permukaan. Bentuk mempunyai struktur dalaman. Gabungan daripada rupa dapat menghasilkan bentuk. Bentuk terbahagi kepada bentuk dua dimensi, tiga dimensi dan pelbagai dimensi.




D.   Jalinan

Jalinan ialah sifat permukaan yang terdapat pada sesuatu objek dan boleh dikesan secara penglihatan (tampak) atau sentuhan. Jalinan pada permukaan objek alam sekeliling dan objek buatan manusia mempunyai kesan tampak yang berbeza. Tuhan menjadikan setiap objek alam dengan jalinan tertentu untuk manusia memikirkannya. Setiap jalinan mempunyai fungsi dan nilainya tersendiri. Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan.




E.   Ruang

Ruang ialah jarak di antara objek yang wujud di dalam alam nyata dan juga dalam karya seni visual. Objek yang berada di hadapan lebih jelas dan lebih besar berbanding dengan objek sama saiz yang berada di bahagian belakang. Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek. Manakala dalam karya seni visual, ruang diwujudkan melalui kekuatan gubahan warna, jalinan, rupa dan bentuk.




F.   Warna

Warna pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.






ELEMEN DAN PRINSIP REKAAN


Prinsip rekaan adalah kaedah atau pengolahan unsur seni untuk menimbulkan gambaran tertentu dalam gubahan seni visual.Prinsip rekaan terbahagi kepada tujuh iaitu:

A.   Harmoni

Prinsip rekaan dalam karya seni tampak seperti unsur-unsur harmoni boleh diwujudkan dalam karya lukisan yang bertemakan alam semula jadi. Harmoni dalam konteks seni visual dapat ditonjolkan apabila wujudnya susunan ataupun ulangan unsur-unsur seni yang sesuai, seimbang dan menarik. Sebagai contohnya, keseragaman bentuk serta kepelbagaian saiz yang terdapat pada bahagian tubuh serta sayap seekor rama-rama akan menimbulkan kesan yang lebih harmoni, menarik serta seimbang. Penggunaan unsur-unsur harmoni dalam sesuatu hasil karya adalah bertujuan untuk menarik perhatian serta dapat menimbulkan nilai-nilai estetika.

Harmoni pada karya alam semula jadi:


Warna-warna pada daun yang seakan menampakkan persamaan dan warna boleh mewujudkan ton.Contohnya daun muda adalah lebih cerah berbanding dengan warna yang terbentuk pada daun-daun yang lebih tua.Melalui contoh lukisan di atas, penggunaan ton semasa mewarna daun akan dapat menimbulkan kesan keselesaan, keseragaman serta kesatuan pada objek yang dihasilkan.

B.   Kontra

Dalam prinsip rekaan seperti kontra, ianya mudah dikesan serta diwujudkan apabila salah satu daripada unsur-unsur seni (contohnya warna) mempunyai ciri-ciri yang menunjukkan pertentangan antara satu sama lain untuk memberikan kesan yang menarik pada sesuatu karya yang telah dihasilkan.Dalam erti kata lain, kontra adalah berkait rapat dengan prinsip rekaan seperti penegasan, iaitu lebih tinggi kadar kontra, maka lebih menyerlah penegasan dalam sesuatu karya seni yang dihasilkan. Kontra boleh wujud melalui perbezaan saiz, warna, bentuk, rupa, jalinan dan garisan.


Contoh karya di atas adalah merupakan cara penggunaan kontra dalam karya Catan. Kontra digunakan dengan tujuan untuk mewujudkan kesan pertentangan serta membangkitkan suasana. Oleh yang demikian, penggunaan unsur kontra dalam sesuatu karya secara kurang terancang akan menghasilkan suasana bercelaru serta nilai-nilai estetik yang kurang menyerlah.


C.   Penegasan

Mengetahui Unsur Penegasan dalam Objek Alam Semula jadi.

Salah satu aspek terpenting dalam prinsip-prinsip rekaan seni adalah aspek penegasan. Penegasan dalam konteks Pendidikan Seni Visual adalah merupakan sesuatu yang boleh memberi tumpuan kepada pemerhatian tampak. Penegasan pada sesuatu objek pada alam semula jadi dapat berfungsi dengan sepenuhnya sekiranya objek tersebut dapat menarik perhatian seseorang apabila melihat atau memerhati objek tersebut. Penegasan sememangnya dapat menonjolkan sesuatu unsur atau objek dalam sesuatu hasil karya yang dapat menarik perhatian.

Melalui gambar foto yang disertakan di atas, jelas kelihatan bahawa unsur dan objek yang dapat memberi gambaran sebenar tentang prinsip penegasan melalui penghasilan warna garang ( warna merah ) yang terdapat pada objek bunga tumbuhan tersebut. Bunga yang sedia ada mempunyai warna yang kontra jika dibandingkan dengan daun, dan ini menunjukkan wujudnya unsur penegasan.Oleh yang demikian, dalam sesuatu hasil karya yang baik, penggunaan warna yang betul serta sesuai dapat memberi unsur penegasan terhadap objek yang dihasilkan di samping kedudukan objek yang diletakkan pada bahagian hadapan.

Seseorang pengkarya yang baik, langkah utama yang beliau harus fikirkan adalah memastikan adanya penggunaan prinsip-prinsip rekaan dalam sesuatu karya yang dihasilkan bukan sahaja prinsip penegasan, malah melibatkan prinsip-prinsip rekaan yang lain seperti keseimbangan, kontra, kepelbagaian dan sebagainya kerana aspek-aspek tersebut secara tidak langsung dapat membantu dalam penghasilan kerja seni yang baik serta bermutu.

D.   Imbangan

Imbangan juga merupakan prinsip rekaan. Imbangan bermaksud kesamaan dan kesepadanan dari segi berat, tarikan dan tumpuan.imbangan boleh dibahagikan kepada dua iaitu imbangan simetri dan imbangan tidak simetri. Imbangan simetri ialah unsur seni yang sama antara kiri dan kanan atau atas dan bawah (garisan ‘axis’ dilukis di tengah-tengah pembahagian tersebut). Imbangan tidak simetri ialah unsur seni tidak sama di kedua-dua bahagian tetapi mempunyai ciri-ciri yang menimbulkan kesan keseimbangan.Contoh prisip rekaan imbangan dapat dirujuk dibawah.



E.   Irama dan pergerakan

Irama dan Pergerakan juga merupakan prinsip rekaan. Irama dan pergerakan berfungsi untuk memberi kesan lebih hidup dan realistik terhadap sesuatu gubahan. Pergerakan ialah keadaan yang bergetar, bergoyang, berayun, berpancar, bersinar-sinar dan sebagainya. Pergerakan dapat dilihat melalui kesan angin, air, ombak, taufan dan sebagainya. Ia dapat dijelaskan dengan gambar rajah dibawah.



F.   Kepelbagaian

Unsur kepelbagaian juga merupakan prinsip rekaan. Kepelbagaian wujud hasil penggunaan pelbagai gaya, nilai, dan idea yang berbeza dalam sesuatu gubahan. Kepelbagaian juga dapat memberi gaya, variasi, tenaga, dan daya tarikan dalam sesuatu gubahan. Kepelbagaian dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni seperti garisan, rupa dan warna yang pelbagai dalam sesuatu gubahan.



G.   Kesatuan

Seterusnya ialah kesatuan. Prinsip rekaan kesatuan bermaksud satu tema atau satu idea bagi semua unsur dalam sesuatu gubahan. Kesatuan dapat menimbulkan suasana yang tenteram, teratur dan selesa.



Rujukan:

Elemen dan Prinsip Rekaan. Diperolehi pada Mac 10,2011 daripada http://notaanimasi.blogspot.com/2011/01/elemen-dan-prinsip-rekaan.html

Prinsip-Prinsip Rekaan. Diperolehi pada Mac 10, 2011 daripada
http://rozelleeotakbutan.blogspot.com/p/iprinsip-rekaan-penegasan.html

Unsur-unsur seni. Diperolehi pada Mac 10, 2011 daripada
http://colourexist.blogspot.com/2010/01/unsur-unsur-seni.html

Saturday, January 22, 2011

KREATIVITI DALAM PEMBELAJARAN


Menurut Majaro (1992) kreativiti sebagai proses pemikiran yang mendorong dalam mengeneralisasikan idea baru. Oldham dan Cumming (1196) menyatakan kreativiti ialah original, berkaitan, produk yang bermanfaat atau prosedur menghasilkan idea baru. Nystrom (1979) menyatakan kreativiti sebagai penemuan baru di mana ia menuju ke arah yang lebih realiti. Mumford dan Gustafson (1998) menyebut kreativiti ialah penghasilan produk-produk dan dihargai oleh masyarakat.  Secara am, semua pakar bersetuju novelti adalah komponen yang wajib dalam kreativiti. Boleh diringkaskan secara umum bahawa kreativiti ialah kombinasi di antara idea baru dan idea lama. Idea baru diperlukan dan idea lama dikaji dan dinilai semula. Ia juga merupakan proses melihat semula, memilih, menukar ganti, gabungan antara maklumat idea baru dan kemahiran.

Dalam organisasi sekolah, kreativiti dilihat sebagai satu kuasa atau force yang penting bagi mencorakkan perkembangan kreativiti dalam pengurusan sekolah (Abdul Rahim Abdul Rashid. 2002). Pengurusan organisasi sekolah perlu kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang dinamis untuk mengembangkan pengetahuan baru, budaya saintifik, penyebaran teknologi maklumat dan pembangunan potensi manusia. Cabaran sekolah dan pendidikan dalam era perubahan k-ekonomi revolusi pengetahuan dan informasi maklumat memerlukan sekolah mengadaptasikan pelbagai perubahan yang berlaku (Harman, 1998). Wawasan dan misi sekolah perlu bersifat kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang berkesan dan progresif (Wall, 1999). Pengurusan perubahan memerlukan organisasi sekolah memantapkan lagi wawasan organisasi yang mampu membawa dan menjadikan sekolah pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan, penyebaran idea baru dan menyuburkan pemikiran kreatif untuk perubahan sosial, teknologi dan membentuk masyarakat berpengetahuan (Fransman, 1999).

Rujukan:
Rasidi Sidik (2009). Inovasi dan Kreativiti dalam Pendidikan. Diperoleh pada Februari 12,2011 daripada http://www.mudahbelajar.com.

KONSTRUKTIVISME



Konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Unsur-unsur konstruktivisme telah lama dipraktikkan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah, maktab dan universiti tetapi tidak begitu ketara dan tidak ditekankan.
Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan sekolah tidak boeh dipindahkan daripada guru kepada guru dalam bentuk yang serba sempurna. Murid perlu bina sesuatu pengetahuan itu mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan sekolah ialah satu skema iaiatu aktiviti mental yang digunakan oleh murid sebagai bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan. Fikiran murid tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitaran. Realiti yang diketahui murid adalah realiti yang dia bina sendiri. Murid sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka.

Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan konstruktivisme.

Beberapa ahli konstruktivisme yang terkemuka berpendapat bahawa pembelajaran yang bermakna itu bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid.
Rutherford dan Ahlgren berpendapat bahawa murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara, yang mana ada yang betul dan ada yang salah. Jika kefahaman dan miskonsepsi ini diabaikan atau tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan asal mereka itu akan tetap kekal walaupun dalam peperiksaan mereka mungkin memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh guru.

John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme ini dengan mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan. Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Dari persepektif epistemologi yang disarankan dalam konstruktivisme fungsi guru akan berubah. Perubahan akan berlaku dalam teknik pengajaran dan pembelajaran, penilaian, penyelidikan dan cara melaksanakan kurikulum. Sebagai contoh, perspektif ini akan mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menumpu kepada kejayaan murid menerima dengan tepat apa saja yang disampaikan oleh guru kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tertumpu kepada kejayaan murid membina skema pengkonsepan berdasarkan kepada pengalaman yang aktif. Ia juga akan mengubah tumpuan penyelidikan daripada pembinaan model daripada kaca mata guru kepada pembelajaran sesuatu konsep daripada kaca mata murid.

Pendekatan konstruktivisme mempunyai beberapa konsep umum seperti:

     1. Pelajar aktif membina pengetahuan berasaskan pengalaman yang sudah ada.
     2. Dalam konteks pembelajaran, pelajar seharusnya membina sendiri pengetahuan mereka.
     3. Pentingnya membina pengetahuan secara aktif oleh pelajar sendiri melalui proses saling memengaruhi
         antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaru.
    4. Unsur terpenting dalam teori ini ialah seseorang membina pengetahuan dirinya secara aktif dengan cara
        membandingkan informasi baru dengan pemahamannya yang sudah ada.
    5. Ketidakseimbangan merupakan faktor motivasi pembelajaran yang utama. Faktor ini berlaku apabila
        seorang pelajar menyedari gagasan-gagasannya tidak konsisten atau sesuai dengan pengetahuan ilmiah.
   6. Bahan pengajaran yang disediakan perlu mempunyai perkaitan dengan pengalaman pelajar untuk
       menarik minat pelajar.

Rujukan:

Teori Konstruktivisme. Diperoleh pada Januari 22, 2011 daripada http://www.teachersrock.net/teori_kon.htm.

Konstruktivisme. Diperoleh pada Januari 22, 2011 daripada http://id.wikipedia.org/wiki/Konstruktivisme.

DISCOVERY LEARNING (PEMBELAJARAN PENEMUAN)


Menurut Bruner, pembelajaran penemuan tidak terhad pada benda atau objek yang belum diketahui oleh manusia, tetapi meliputi sebarang aktiviti yang menggunakan otak dan usaha sendiri untuk mendapatkan suatu ilmu. Sungguhpun ilmu pengetahuan yang diperoleh bukan merupakan suatu yang baru dan belum diketahui, asalkan ia diperoleh melalui daya usaha pelajar sendiri boleh dikategorikan sebagai satu “penemuan”.

Pendekatan pembelajaran penemuan tidak mempunyai model pengajaran yang tertentu tetapi dilaksanakan mengikut kesesuaian subjek dan pelajar yang terlibat. Akan tetapi, langkah-langkah umum yang digariskan oleh Bruner termasuk:
(1)    pembentukan masalah yang dapat menarik minat pelajar,
(2)    membangkitkan minat pelajar terhadap ketidakpastian masalah,
(3)    menyatakan pelbagai hipotesis yang mungkin,
(4)    membantu pelajar mencari dan mengorganisasikan maklumat,
(5)    memandu pelajar menilai dan membuat kesimpulan,
(6)    memandu pelajar menganalisis kesimpulan yang diperoleh untuk
         menyelesaikan masalah.

Dalam pengajaran penemuan, guru bertindak sebagai pereka bentuk, pemudacara dan pembekal bahan serta menggalakkan pelajar melibatkan diri secara aktif untuk menemui teori atau kesimpulan tertentu. Guru tidak membekalkan jawapan sebaliknya memberi peluang kepada pelajar memikir dan ‘menemui’ ilmu sendiri. Menurut beliau, penemuan taakulan induktif merupakan kaedah terbaik untuk memperoleh pengetahuan berbentuk hukum dan konsep (terutamamya dalam mata pelajaran sains) untuk meningkatkan prestasi dalam ingatan jangka panjang dan penguasaan dalam menyelesaikan masalah.

Menurut bukunya The Act of Discovery (1961), kaedah pembelajaran penemuan sememangnya dapat meningkatkan motivasi intrinsik dan minat pelajar dalam pembelajaran serta membantu perkembangan potensi intelek, pemikiran kritis dan kreatif individu sekiranya dirancang dan dilaksanakan dengan baik. Akan tetapi, terdapat kelemahan-kelemahan tertentu dalam kaedah pembelajaran penemuan yang dicadangkan oleh Bruner. Setiap individu mempunyai kecerdasan yang berbeza antara satu sama lain. Perbezaan kecerdasan daripada pelbagai aspek menjadikan pelajar berfikir dan belajar dengan cara yang berbeza. Jadi, kaedah pembelajaran penemuan tidak semestinya bersesuaian untuk semua pelajar.

Selain itu, prosesnya juga akan mengambil masa yang lama serta tidak dapat menjamin hasil dan prestasi pembelajaran yang diinginkan. Justeru, kaedah tersebut tidak sesuai dijadikan sebagai kaedah pengajaran yang utama, tetapi harus digabung dengan kaedah lain mengikut perancangan pengajaran yang bersistematik.

Rujukan:

Ahmad Johari Sihes. Teori Pembelajaran. Diperoleh pada
Januari  22,2011 daripada http://eprints.utm.my/10358/1/bab11.pdf.