Saturday, January 22, 2011

KREATIVITI DALAM PEMBELAJARAN


Menurut Majaro (1992) kreativiti sebagai proses pemikiran yang mendorong dalam mengeneralisasikan idea baru. Oldham dan Cumming (1196) menyatakan kreativiti ialah original, berkaitan, produk yang bermanfaat atau prosedur menghasilkan idea baru. Nystrom (1979) menyatakan kreativiti sebagai penemuan baru di mana ia menuju ke arah yang lebih realiti. Mumford dan Gustafson (1998) menyebut kreativiti ialah penghasilan produk-produk dan dihargai oleh masyarakat.  Secara am, semua pakar bersetuju novelti adalah komponen yang wajib dalam kreativiti. Boleh diringkaskan secara umum bahawa kreativiti ialah kombinasi di antara idea baru dan idea lama. Idea baru diperlukan dan idea lama dikaji dan dinilai semula. Ia juga merupakan proses melihat semula, memilih, menukar ganti, gabungan antara maklumat idea baru dan kemahiran.

Dalam organisasi sekolah, kreativiti dilihat sebagai satu kuasa atau force yang penting bagi mencorakkan perkembangan kreativiti dalam pengurusan sekolah (Abdul Rahim Abdul Rashid. 2002). Pengurusan organisasi sekolah perlu kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang dinamis untuk mengembangkan pengetahuan baru, budaya saintifik, penyebaran teknologi maklumat dan pembangunan potensi manusia. Cabaran sekolah dan pendidikan dalam era perubahan k-ekonomi revolusi pengetahuan dan informasi maklumat memerlukan sekolah mengadaptasikan pelbagai perubahan yang berlaku (Harman, 1998). Wawasan dan misi sekolah perlu bersifat kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang berkesan dan progresif (Wall, 1999). Pengurusan perubahan memerlukan organisasi sekolah memantapkan lagi wawasan organisasi yang mampu membawa dan menjadikan sekolah pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan, penyebaran idea baru dan menyuburkan pemikiran kreatif untuk perubahan sosial, teknologi dan membentuk masyarakat berpengetahuan (Fransman, 1999).

Rujukan:
Rasidi Sidik (2009). Inovasi dan Kreativiti dalam Pendidikan. Diperoleh pada Februari 12,2011 daripada http://www.mudahbelajar.com.

KONSTRUKTIVISME



Konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Unsur-unsur konstruktivisme telah lama dipraktikkan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah, maktab dan universiti tetapi tidak begitu ketara dan tidak ditekankan.
Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan sekolah tidak boeh dipindahkan daripada guru kepada guru dalam bentuk yang serba sempurna. Murid perlu bina sesuatu pengetahuan itu mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan sekolah ialah satu skema iaiatu aktiviti mental yang digunakan oleh murid sebagai bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan. Fikiran murid tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitaran. Realiti yang diketahui murid adalah realiti yang dia bina sendiri. Murid sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka.

Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan konstruktivisme.

Beberapa ahli konstruktivisme yang terkemuka berpendapat bahawa pembelajaran yang bermakna itu bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid.
Rutherford dan Ahlgren berpendapat bahawa murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara, yang mana ada yang betul dan ada yang salah. Jika kefahaman dan miskonsepsi ini diabaikan atau tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan asal mereka itu akan tetap kekal walaupun dalam peperiksaan mereka mungkin memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh guru.

John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme ini dengan mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan. Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Dari persepektif epistemologi yang disarankan dalam konstruktivisme fungsi guru akan berubah. Perubahan akan berlaku dalam teknik pengajaran dan pembelajaran, penilaian, penyelidikan dan cara melaksanakan kurikulum. Sebagai contoh, perspektif ini akan mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menumpu kepada kejayaan murid menerima dengan tepat apa saja yang disampaikan oleh guru kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tertumpu kepada kejayaan murid membina skema pengkonsepan berdasarkan kepada pengalaman yang aktif. Ia juga akan mengubah tumpuan penyelidikan daripada pembinaan model daripada kaca mata guru kepada pembelajaran sesuatu konsep daripada kaca mata murid.

Pendekatan konstruktivisme mempunyai beberapa konsep umum seperti:

     1. Pelajar aktif membina pengetahuan berasaskan pengalaman yang sudah ada.
     2. Dalam konteks pembelajaran, pelajar seharusnya membina sendiri pengetahuan mereka.
     3. Pentingnya membina pengetahuan secara aktif oleh pelajar sendiri melalui proses saling memengaruhi
         antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaru.
    4. Unsur terpenting dalam teori ini ialah seseorang membina pengetahuan dirinya secara aktif dengan cara
        membandingkan informasi baru dengan pemahamannya yang sudah ada.
    5. Ketidakseimbangan merupakan faktor motivasi pembelajaran yang utama. Faktor ini berlaku apabila
        seorang pelajar menyedari gagasan-gagasannya tidak konsisten atau sesuai dengan pengetahuan ilmiah.
   6. Bahan pengajaran yang disediakan perlu mempunyai perkaitan dengan pengalaman pelajar untuk
       menarik minat pelajar.

Rujukan:

Teori Konstruktivisme. Diperoleh pada Januari 22, 2011 daripada http://www.teachersrock.net/teori_kon.htm.

Konstruktivisme. Diperoleh pada Januari 22, 2011 daripada http://id.wikipedia.org/wiki/Konstruktivisme.

DISCOVERY LEARNING (PEMBELAJARAN PENEMUAN)


Menurut Bruner, pembelajaran penemuan tidak terhad pada benda atau objek yang belum diketahui oleh manusia, tetapi meliputi sebarang aktiviti yang menggunakan otak dan usaha sendiri untuk mendapatkan suatu ilmu. Sungguhpun ilmu pengetahuan yang diperoleh bukan merupakan suatu yang baru dan belum diketahui, asalkan ia diperoleh melalui daya usaha pelajar sendiri boleh dikategorikan sebagai satu “penemuan”.

Pendekatan pembelajaran penemuan tidak mempunyai model pengajaran yang tertentu tetapi dilaksanakan mengikut kesesuaian subjek dan pelajar yang terlibat. Akan tetapi, langkah-langkah umum yang digariskan oleh Bruner termasuk:
(1)    pembentukan masalah yang dapat menarik minat pelajar,
(2)    membangkitkan minat pelajar terhadap ketidakpastian masalah,
(3)    menyatakan pelbagai hipotesis yang mungkin,
(4)    membantu pelajar mencari dan mengorganisasikan maklumat,
(5)    memandu pelajar menilai dan membuat kesimpulan,
(6)    memandu pelajar menganalisis kesimpulan yang diperoleh untuk
         menyelesaikan masalah.

Dalam pengajaran penemuan, guru bertindak sebagai pereka bentuk, pemudacara dan pembekal bahan serta menggalakkan pelajar melibatkan diri secara aktif untuk menemui teori atau kesimpulan tertentu. Guru tidak membekalkan jawapan sebaliknya memberi peluang kepada pelajar memikir dan ‘menemui’ ilmu sendiri. Menurut beliau, penemuan taakulan induktif merupakan kaedah terbaik untuk memperoleh pengetahuan berbentuk hukum dan konsep (terutamamya dalam mata pelajaran sains) untuk meningkatkan prestasi dalam ingatan jangka panjang dan penguasaan dalam menyelesaikan masalah.

Menurut bukunya The Act of Discovery (1961), kaedah pembelajaran penemuan sememangnya dapat meningkatkan motivasi intrinsik dan minat pelajar dalam pembelajaran serta membantu perkembangan potensi intelek, pemikiran kritis dan kreatif individu sekiranya dirancang dan dilaksanakan dengan baik. Akan tetapi, terdapat kelemahan-kelemahan tertentu dalam kaedah pembelajaran penemuan yang dicadangkan oleh Bruner. Setiap individu mempunyai kecerdasan yang berbeza antara satu sama lain. Perbezaan kecerdasan daripada pelbagai aspek menjadikan pelajar berfikir dan belajar dengan cara yang berbeza. Jadi, kaedah pembelajaran penemuan tidak semestinya bersesuaian untuk semua pelajar.

Selain itu, prosesnya juga akan mengambil masa yang lama serta tidak dapat menjamin hasil dan prestasi pembelajaran yang diinginkan. Justeru, kaedah tersebut tidak sesuai dijadikan sebagai kaedah pengajaran yang utama, tetapi harus digabung dengan kaedah lain mengikut perancangan pengajaran yang bersistematik.

Rujukan:

Ahmad Johari Sihes. Teori Pembelajaran. Diperoleh pada
Januari  22,2011 daripada http://eprints.utm.my/10358/1/bab11.pdf.